PLC

APA ITU PLC?

PLC adalah merupakan singkatan kepada Professional Learning Community atau Komuniti Pembelajaran Profesional. PLC menggalakkan kolaborasi yang lebih aktif dalam kalangan guru bagi menambahbaik kualiti PdPc dalam bilik darjah. Saya percaya semua guru pasti sudah maklum bahawa setiap PLC yang dilaksanakan boleh didaftarkan dalam laman e-SPLKPM. Rugi jika kita laksanakan PLC tapi tidak didaftarkan sebagai LaDaP.

Terdapat banyak strategi yang digunakan dalam PLC, boleh rujuk dalam laman e-SPLKPM. Cuma di negara kita setakat ini lebih berfokuskan kepada 6 strategi berikut:

1. Lesson Study

Lesson Study boleh dikatakan antara strategi PLC yang paling rumit dan mengambil masa. Namun, sebenarnya ia akan menjadi lebih mudah apabila kita sudah biasa menjalankannya. Dalam strategi Lesson Study, kita berbincang kaedah PdPc terbaik melalui rancangan pengajaran (RPH).

Lesson Study melibatkan 3 fasa:

(i) Pembinaan RPH melalui perbincangan guru dalam kumpulan (biasanya satu panitia)
- pemilihan aktiviti
(ii) Pelaksanaan PdPc menggunakan RPH yang telah dibina bersama & pemerhatian oleh ahli-ahli kumpulan Lesson Study
(iii) Refleksi PdPc dan penambahbaikan RPH
- adakah aktiviti yang dipilih dapat membantu pelajar menguasai tajuk yang diajar?

Sekiranya objektif yang disenaraikan dalam RPH tersebut dapat dicapai melalui aktiviti yang dijalankan, maka kitaran Lesson Study boleh dihentikan setakat fasa (iii) dan boleh diteruskan dengan perbincangan RPH untuk tajuk yang lain pula. Namun, jika banyak kekurangan yang dikenal pasti dan penambahbaikan dibuat, maka RPH yang telah dikemaskini diuji semula melalui kitaran yang seterusnya dengan mengulang semula proses (i) - (iii).

Tips: Strategi Lesson Study boleh digabungkan dengan strategi lain seperti Teacher Sharing dan Video Critique.

2. Peer Coaching

Melibatkan 2 orang guru, biasanya guru senior dan guru junior yang bertindak selaku Coach dan Coachee. Ada 3 pendekatan yang boleh dipilih:

(i) Coachee mengajar, Coach menjadi pemerhati
(ii) Coach mengajar, Coachee menjadi pemerhati
(iii) Coach dan Coachee mengajar bersama.

Tips: boleh dijalankan semasa proses pencerapan, juga boleh digabungkan dengan strategi Teacher Sharing.


3. Teacher Sharing Session


Sebenarnya, kita selaku guru sudah tentu selalu berbincang tentang kaedah PdPc sesama ahli panitia, cuma tak buat laporan saja kan. Jangan risau, laporan TSS senang sahaja, hanya isi sahaja borang yang telah disediakan dalam tool kit TSS. Jangan lupa ambil gambar dan lampirkan dalam laporan.

Tips: TSS boleh dijalankan secara berkumpulan mahupun antara 2 orang guru sahaja pun boleh. Setiap kali berbincang, ambil gambar terus, laporan boleh disediakan kemudian.


4. Learning Walks

Strategi PLC yang paling rileks. Apa tidaknya, sambil-sambil berjalan sahaja sudah boleh hasilkan satu laporan PLC. Tapi, pastikan ada ilmu yang dikutip melalui pemerhatian terhadap pengajaran guru lain. Bukan berjalan kosong sahaja ye. Jika bosan atau mengantuk dalam bilik guru, jalan-jalan ambil angin sambil menimba ilmu. Best kan..?

Tips: Masa berjalan tu, terus bawa siap-siap borang Learning Walks, isikan terus. Jika tidak nanti lupa apa yang diperhatikan dan laporan jadi bertangguh. Akhir sekali, laporan tidak dibuat, maka rugi lah.


5. Video Critiques

Video diambil semasa proses PdPc, kemudian ahli kumpulan PLC menonton semula video tersebut. Sambil-sambil itu, ahli kumpulan menilai kaedah yang digunakan serta membincangkan penambahbaikan terhadap kaedah PdPc sedia ada.

Tips: Video Critique boleh menjadi alternatif sekiranya tidak semua ahli kumpulan / ahli panitia dapat hadir semasa pelaksanaan Lesson Study atau Peer Coaching. Malah boleh dikongsi melalui aplikasi mudah alih seperti Telegram / WhatsApp / Skype dll. Proses perbincangan lebih meluas dan lebih fleksibel.


6. Data Analysis

Data Analysis biasanya melibatkan proses penilaian terhadap ujian/peperiksaan melalui analisis item yang dibuat. Kita tengok tajuk mana yang sukar dikuasai oleh pelajar, pelajar mana yang perlu diberikan perhatian lebih. Ini pun dah biasa sangat kita buat kan, cuma tak dokumentasikan saja, betul tak?

Catatan:

Perlu diingat bahawa setiap strategi PLC yang dijalankan adalah bertujuan untuk menilai dan menambahbaik pedagogi dalam bilik darjah. PLC dilaksanakan BUKAN untuk menilai guru yang mengajar. Guru-guru dalam kumpulan PLC juga perlu lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan PLC secara berkualiti.

No comments:

Post a Comment